KUALA PILAH - Ibu ‘keringkan hati cari jasad anak dalam sungai..
KUALA PILAH: Sambutan Hari Ibu tidak bermakna bagi seorang wanita apabila kehilangan tiga puterinya sekali gus dalam kejadian arus deras di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini, Selasa lalu.
Lebih meruntun jiwa apabila jasad seorang anaknya belum ditemui sehingga kini.
Keadaan itu menyebabkan Wan Azleela Wan Abdullah, 33, masih tekad berusaha mencari jasad anak bongsunya, Nurshaza Shakinah Said, 2, walaupun kejadian masuk hari keenam, semalam.
Malah, ibu berjiwa kental itu mengetepikan kesedihan kehilangan tiga anak kesayangannya serentak dalam kejadian fenomena ‘kepala air’ itu untuk turut serta turun ke sungai bagi mencari anak bongsunya.
Menurut Wan Azleela, dia amat sedih kerana tidak berpeluang menyambut Hari Ibu bersama anak-anaknya.
“Tiada lagi kucupan dan rengekan manja mereka. Hanya Tuhan tahu perasaan ini dan saya nekad mahu memastikan anak bongsu saya itu mempunyai pusara.
“Saya amat berharap Shakinah ditemui kerana bila ada jasad bermakna akan ada kubur mereka. “Saya boleh melawat kubur untuk mengubat kerinduan terhadap mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hasan Malek dan isterinya, Datin Norainee Mohd Yatib meluangkan masa menziarah keluarga mangsa di lokasi kejadian, semalam.
